Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kebolehpasaran Graduan IKN Tinggi

By 3 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Irina Abd Samad/Norfaizah Adnan

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Graduan lepasan Institut Kraf Negara (IKN) mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dalam pelbagai industri kraf sejak penubuhan institusi itu pada 2001 sehingga kini.

Semenjak tahun 2001 hingga 2022, IKN berjaya melahirkan seramai 2,892 orang graduan dan data pengesanan IKN menunjukkan 82 peratus berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Menurut Ketua Jurusan Seni dan Logam IKN Mohammad Suzani Mohd Yusof, pelajar lepasan Jurusan Logam dan Seni pada masa kini sangat dicari dan mudah mendapat tempat di pasaran pekerjaan.

“Pelajar di IKN akan diberikan tugas mengikut kretiviti sambil dibantu oleh tenaga pengajar bagi menghasilkan sesuatu untuk mendapat tempat di pasaran terkini,” katanya.

Seramai 115 orang graduan telah berjaya menamatkan pengajian diperingkat Diploma, Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja dengan cemerlang.

Istiadat Konvokesyen IKN Kali Ke-21 telah diadakan di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di sini semalam.

Pada istiadat itu, Alumni Terbaik Diploma Jurusan Logam Niverhah Thanotharen, 21, berkata minat yang mendalam dalam kraf mendorongnya untuk belajar di IKN dan akan menyambung pelajaran di Jerman dengan bantuan biasiswa kerajaan yang ditawarkan kepadanya.

Turut menerima Anugerah Graduan Terbaik Diploma Kraf Kayu, Mohammad Amirul Shafiq Shaari, 23, berkata beliau sangat bersyukur kerana ditawarkan Program Usahawan Inkubator dengan dibantu oleh Kraftangan Malaysia seperti memberikan bantuan dari segi peralatan dan mesin.

“Saya sangat bersyukur kerana dari tiada ilmu tenunan, hari ini saya dapat banyak ilmu dan saya akan menyambung pelajaran diperingkat diploma di IKN,” kata penerima Alumni Terbaik Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tenunan Dastar, Fatin Nadia Mohd Puldin@Amir, 22, yang berasal dari Sabah.

Istiadat tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

-ZS-

Tinggalkan komen anda