
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Sempena Sambutan Hari Batik Malaysia yang diisytiharkan pada 3 Disember setiap tahun, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) Cawangan Negeri Sembilan telah merangka pelbagai aktiviti menarik selama empat hari untuk pengunjung yang hadir.
Menurut Pengarah Syardi Muhammad, orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama meraikan hari batik Malaysia dan menyertai aktiviti yang diadakan selama empat hari bermula dari 30 November sehingga 3 Disember ini.
“Sempena Hari Batik Malaysia pada tahun ini Kraftangan Cawangan Negeri Sembilan menyediakan pelbagai aktiviti menarik mengenai batik Malaysia antaranya Jualan Produk Kraf, Pameran Ini Batik Malaysia, Bengkel dan Interaktif Kraf Jom Membatik, Jualan Komuniti Batik dan Jom Masuk Institut Kraftangan Negara (IKN),’’ ujarnya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, seorang pengunjung, Fazlan Shah, 27, yang berkesempatan hadir ke Kraftangan Kuala Pilah semalam memberitahu industri batik Batik Malaysia perlu diperkembangkan di semua peringkat khususnya institusi pendidikan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta dan rakyat.
-ZS-