Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

MEDspec 2023 Platform Serlah Daya Cipta dan Inovasi Pelajar

By 1 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)/PUO

IPOH, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 335 pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Omar (PUO) menyertai Program Mechanical Engineering Department Students’ Projects Exhibition and Competition (MEDspec) 2023 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, PUO, di sini pada Rabu.

Program MEDspec merupakan platform menyerlahkan bakat daya cipta dan inovasi pelajar PUO dalam menghasilkan projek yang merangkumi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Automotif, Mekatronik serta Penyaman Udara dan Penyejukbekuan.

Timbalan Pengarah (Akademik) PUO Ts. Dr. Izwah Ismail, berkata MEDspec bukan sekadar sebuah acara, tetapi ia merupakan titik pertemuan antara ilmu pengetahuan dan keperluan sebenar industri.

“Ia melonjakkan semangat inovasi dan membawa elemen kecemerlangan dalam pembelajaran yang dihasilkan oleh pelajar kita sebagai dorongan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Projek ‘Portable Drum Lifter’ yang memperkenalkan inovasi pengendalian dan pengangkutan heavy drums (tong berat) telah dinobatkan Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan MEDspec 2023. Sesi penilaian dilaksanakan oleh 20 orang juri dari pelbagai industri dalam menekankan konsep demand-driven yang menjadi tonggak utama MEDspec,” ujarnya ketika merasmikan program.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berusaha keras dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam MEDspec.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras, komitmen dan semangat untuk terus belajar dari semua pihak yang terlibat.

“Saya berharap semangat kolaborasi bersama industri ini dapat dipertahankan untuk memastikan kesinambungan dalam mencorak masa depan kejuruteraan yang lebih cemerlang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda