
Laporan/foto: Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Malam Ambang Tahun Baharu disambut meriah selaras dengan pembukaan Tahun Melawat Taiping 2024 di Dataran Warisan Taiping, kelmarin.
Memasuki fasa tahun baru ini, maka genaplah sudah usia bandar warisan Taiping yang mencecah 150 tahun.
Menurut Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh, 20 Januari 1874 merupakan tahun pertama wujudnya bandar warisan ini dan malam ambang tahun baharu dipilih bagi menyemarakkan lagi semangat penduduk setempat untuk menyambut Tahun Melawat Taiping.
“Program ini adalah satu permulaan kepada program-program yang bakal diadakan sepanjang tahun ini.
“Kita anggarkan lebih 150 aktiviti akan diadakan di Taiping sepanjang tahun ini bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melawat Taiping,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Taiping 150.
Tambahnya, pada 20 Januari ini akan berlangsungnya pelancaran program Tahun Melawat Taiping dengan majlis bakal disempurnakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Saya akan memastikan bandar ini menjadi bandar yang akan sentiasa dikunjungi oleh orang ramai serta memperkenalkan bandar ini di seluruh negara,” ujarnya.
-ZS-