Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurSukanTrending

Lebih 25 Atlet Mampu ke Paris 2024

By 5 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Azad Khan

KUALA LUMPUR, 5 Jan (MalaysiaAktif) — Majlis Sukan Negara (MSN) optimis lebih 25 atlet mampu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal membuka tirai saingan pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub, jumlah tersebut boleh meningkat sehingga lebih 50 — sekiranya skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Sukan badminton, berbasikal trek dan terjun kekal sebagai prospek utama pingat bagi kontinjen negara, terutamanya bagi merangkul pingat emas pertama Malaysia.

“Kita masih bergantung kepada badminton, berbasikal, dan terjun untuk mendapatkan pingat, tetapi sukan ketepatan seperti menembak dan memanah juga boleh cipta kejutan. Harapan besar semua pihak adalah, jika boleh, menang emas pertama di Paris tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang memberikan bantuan terbaik dalam pelbagai segi seperti sokongan sains sukan, kejurulatihan dan perundingan kepada atlet yang sudah layak dan berpotensi layak ke Paris 2024 menerusi Program Podium dan Road to Gold (RTG).

Buat masa ini, lima atlet telah mengesahkan tiket ke Paris 2024 iaitu Nur Shazrin Latif (atlet pelayaran wanita), Johnathan Wong (menembak lelaki), Bertrand Rhodict Lises (terjun lelaki), Ariana Nur Dania Zairi (memanah wanita) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya wanita).

Skuad Speedy Tigers (hoki lelaki) yang kali terakhir beraksi di Olimpik Sydney 2000, perlu menggunakan sebaiknya peluang terakhir untuk layak ke Paris 2024 di Kejohanan Kelayakan di Muscat, Oman pada 15 hingga 21 Januari ini, manakala sukan lain seperti berbasikal trek, badminton dan terjun akan disahkan kelayakan pada April dan Mei ini.

Malaysia diwakili oleh 30 atlet pada edisi Tokyo 2020, dengan meraih dua pingat iaitu pingat perak menerusi berbasikal trek dan gangsa menerusi sukan badminton.

-HS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda