Skip to main content
Berita TempatanPutrajayaSukan

Sejarah Baharu Skuad Berbasikal Para Negara

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azad Khan/Arif Karim (CSN Australia)

PUTRAJAYA, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafidzi Shaharuddin berjaya merangkul pingat gangsa dalam Piala Dunia Berbasikal Para Lebuh Raya di Adelaide, Australia.

Dengan catatan masa 22 minit 33 saat dalam acara ujian masa lebuh raya, ia sudah cukup untuk atlet berusia 27 tahun itu mencipta sejarah baharu buat sukan tersebut.

Atlet dari Sepanyol, Ricardo Ten Argiles memenangi pingat emas, diikuti pingat perak, Pierre Senska dari Jerman.
Menurut jurulatihnya, Johari Mohd Nayan, ini merupakan kali pertama atlet Para Malaysia memenangi pingat di kejohanan berprestij itu.

“Usaha keras Yusof selama ini telah membuahkan hasil, peluang besar untuknya layak ke Paralimpik Paris 2024,” katanya.

 

Dalam pada itu, jurulatih skuad berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh, berkata mereka telah berjaya mencapai sasaran seperti yang dirancang untuk mengumpul sebanyak mungkin mata bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Mohamad Yusof perlu memperoleh mata kelayakan sekurang-kurangnya 1323 mata dengan hanya satu slot disediakan untuk pelumba Malaysia ke temasya tersebut yang akan berlangsung Ogos depan,” ujarnya.

“Walaupun kita hanya mendapat satu pingat di sini (Adelaide), atlet lain turut memberikan yang terbaik untuk mendapat keputusan yang baik dan meningkatkan prestasi mereka,” jelas beliau.

Sasaran seterusnya Pasukan Berbasikal Para Malaysia ialah Kejohanan Berbasikal Asia 2024, yang akan berlangsung di New Delhi, India pada Februari.

-AK-

Tinggalkan komen anda