Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajayaSukan

‘Speedy Tigers’ Kelima Terbaik di Kelayakan Olimpik

By 22 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Azad Khan/MHC

PUTRAJAYA, 22 Jan (MalaysiaAktif) – Skuad hoki lelaki negara menamatkan kempen kelayakan Olimpik di kedudukan kelima terbaik selepas mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam.
Sebelum itu, skuad ‘The Speedy Tigers’ terikat tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-18 dunia itu di Stadium Oman, Muscat.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi ‘penalty shoot-out’ dengan Firhan Ashari, Nik Aiman Nik Rozemi dan Azrai Aizad Abu Kamal berjaya menyempurnakan percubaan mereka buat Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia.

Skuad Speedy Tigers gagal layak ke Olimpik Paris 2024, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A kejohanan kelayakan itu di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan diikuti Pakistan dan China.

Ketua Jurulatih negara, Arul Selvaraj, berkata kemenangan ke atas Kanada ini amat penting untuk naikkan moral pasukan.

“Secara keseluruhan di kelayakan Olimpik kalau lihat statistik permainan kita lebih baik daripada lawan, cuma sentuhan penyudah dan ‘decision making’ di dalam kawasan lawan kurang baik,” katanya.

“Saya mohon maaf terutamanya kepada para penyokong kerana gagal layak ke olimpik kali ini, kita perlu berkerja keras lagi untuk layak ke edisi seterusnya,” jelas beliau.

Skuad kendaliannya membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China, kemudian tewas 1-4 dengan Great Britain dan terikat 3-3 menentang Pakistan.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

-AK-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda