Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Simunjan: Misteri Api Gemparkan Penduduk Setempat

By 3 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)

SIMUNJAN, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk kampung di sekitar kawasan berdekatan dengan jalan alternatif Sungai Kelka di sini telah digemparkan dengan penemuan misteri api dari bawah tanah.

Kejadian misteri tersebut yang telah ditemui oleh penduduk tempatan sejak seminggu yang lalu dan telah menimbulkan perasaan ingin tahu orang ramai.

Dikatakan api yang sentiasa marak dan tidak terpadam walaupun ketika berlaku hujan itu mencetuskan spekulasi penduduk kampung setempat yang beranggapan bahawa ia terhasil daripada tindak balas gas metana di kawasan tersebut.

“Menurut cerita orang lama di kampung ini, daerah Simunjan pada zaman penjajahan British sudah ada penemuan gas di mana pada masa itu belum lagi dapat dituai atau diteroka atas faktor kematangan gas tersebut,” kata Mahri John, 56, ketika ditemu bual di tempat kejadian.

Tambahnya lagi, galian batu arang turut pernah dijumpai di Simunjan dan ia mungkin ada hubung kait dengan penemuan api yang bertindak balas dengan gas yang terdapat di bawah tanah tersebut.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Fairuz Jamain, pihak Bomba Daerah Simunjan telah menerima aduan daripada orang awam berkaitan dengan penemuan api dari bawah tanah itu pada penghujung bulan Disember 2023.

Katanya, pihak bomba juga telah membuat laporan polis untuk mendapat tindakan lanjut daripada pihak yang arif untuk mengetahui punca berlakunya api bawah tanah tersebut.

Tambahnya, bomba turut telah menasihati agar orang ramai berhati-hati ketika melewati kawasan tersebut untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda