
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Majlis Daerah Tangkak
TANGKAK, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Projek pembangunan Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir yang mulai menjalankan operasi pada Ahad lalu dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Projek ini merupakan salah satu Rancangan Pembangunan daerah Tangkak dan telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Tangkak Farid Kassim.
“Pembinaan terminal baharu yang telah siap dengan kos RM2 juta ini termasuk dalam pembangunan Gambir Square yang bakal menempatkan pusat komersial dan medan selera dia atas tanah seluas 1.9 ekar,” katanya kelmarin.
Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Yang Mulia Ungku Mohd Zaffrin Ungku Mohd Zaman, terminal baharu tersebut menyediakan perjalanan ekpress dari Kuala Lumpur ke Bukit Gambir dan seterusnya ke Johor Baharu.
“Bas Muafakat Johor juga disediakan bagi perjalanan dari Muar ke Bukit Gambir seterusnya ke Pagoh.
“Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap dan responsif itu dijangka menjadi satu solusi kepada isu kesesakan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Katanya lagi, persekitaran terminal yang baik dan selesa serta kemudahan bagi pengguna Orang Kurang Upaya (OKU) juga disediakan.
“Kaunter jualan tiket juga akan dibuka di terminal tersebut.
“Harapan ingin jadikan pengangkutan awam terutamanya bas dan teksi di Tangkak ini sebagai medium utama untuk bergerak ke mana-mana kerana sudah pastinya projek pembinaan terminal baharu ini akan meningkatkan jaringan pengangkutan awam sekali,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gambir Sahrihan Jani.
-ZS-