
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 300 lokasi telah dikenal pasti di setiap daerah seluruh negeri Johor bagi pelaksanaan program Jualan Kasih Johor (KASIH) pada tahun ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif ini akan diadakan di lokasi terpilih semasa musim perayaan besar dengan sasaran seramai 800,000 penerima mendapat manfaat menerusi kaedah pengurangan harga produk makanan terpilih.
“Kerajaan Johor memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan inisiatif ini yang bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam mendepani ekonomi yang tidak menentu.
“Kerajaan Johor akan meneruskan penganjuran KASIH sekiranya mendapat permintaan dan sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Johor,” katanya selepas majlis perasmian Jualan Kasih Johor (KASIH) di Pusat Rukun Tetangga, Taman Johor, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, Setiausaha Politik Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas Datuk Ramlee Bohani dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.
-ZS-