Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Latih Amal Tingkatkan Kesiapsiagaan Hadapi Ancaman Awam

By 18 minit yang laluTiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Siti Aminah Abu Bakar (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan berlaku ancaman ketenteraman awam di kawasan bandar antara tujuan Program Taklimat Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 21 dan ‘Tabletop Exercise’ Daerah Johor Bahru melibatkan jabatan-jabatan kerajaan dan agensi yang berkaitan bertempat di Kota Iskandar, di sini kelmarin.

Arahan MKN No. 21 mengandungi mekanisme pengurusan ancaman ketenteraman awam yang boleh menjadi pemangkin kepada sesuatu yang lebih berbahaya dan mengancam kestabilan dan keselamatan negara.

Ketua Penolong Pengarah MKN negeri Junaid Izuddin Abdul Aziz, berkata latih amal ini juga bertujuan mengemas kini prosedur di jabatan dan agensi terlibat supaya selaras dengan perkembangan dan situasi semasa.

“Oleh itu, latih amal ini akan mempersiapsiagakan setiap pegawai yang bertanggungjawab untuk memastikan pegawai-pegawai berkenaan memahami prosedur operasi standard (SOP) dalaman dan SOP luaran selaras dengan Arahan MKN 21.

“Sekiranya insiden ini berlaku, tindakan segera dapat dijalankan, mereka juga akan memahami kekuatan dan aset-aset setiap jabatan dan agensi berkaitan untuk mewujudkan satu situasi kawalan ke atas insiden-insiden yang kita hadapi,” katanya.

Junaid memaklumkan, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah (JKKD) yang dipengerusi oleh Pegawai Daerah memainkan peranan penting dalam mengambil langkah dan gerakan keselamatan yang melibatkan ketenteraman awam di peringkat daerah bagi membendung situasi ancaman ketenteraman awam merebak dan menjadi lebih besar.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Hasif Azman, Pengarah Keselamatan Negeri MKN negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda