Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Santai Berbasikal Kenali Luak Jempol Perkenal Kawasan Adat, Tempat Pelancongan

By 8 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Samsulkhair Mohd Ayob

JEMPOL, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Jelajah ‘Kenali Luak Jempol’ yang disertai 100 peserta berbasikal secara santai sejauh 10km telah berlangsung, di sini semalam.

Program yang bermula di Dataran Sejarah Kampung Jambu Lapan turut disertai Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz,

Menurut Pegawai Daerah Jempol Nawal Mohamed Amin, program ini merupakan julung-julung kali diadakan bagi memperkenalkan kawasan adat, tempat-tempat pelancongan menarik serta produk tempatan yang terdapat dalam Luak Jempol bersempena Hari Keputeraan yang ke-76 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Bermula dari Kampung Jambu 8 (Penarikan), peserta kayuhan telah melalui ke lima lokasi lain iaitu Sekolah Kebangsaan Jempol yang merupakan sekolah rendah bagi Yang Dipertuan Agong Pertama, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

“Kemudiannya ke Balai Raya Kampung Sialang bagi melawat tempat penghasilan Sos Sialang yang diusahakan oleh Kumpulan Penggerak Wanita (KPW),” ujarnya.

Katanya lagi, destinasi seterusnya, peserta telah melalui kawasan sawah padi untuk ke Inap Desa Lonek bagi merasai pengalaman mengacau penganan (dodol) cair, mengemping beras, mengoca ikan dan bermain sukaneka rakyat.

“Sebelum ke lokasi terakhir di Teratak Zaaba, semua peserta kayuhan telah dibawa ke tempat kraftangan berasaskan buluh yang diusahakan oleh penduduk tempatan di Kampung Lonek.

“Sebagai simbolik acara adat, Datuk Adat dan Ibu Soko telah menyembahkan tepak sireh kepada YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz serta YAM Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz dan program telah berakhir dengan jayanya tanpa insiden yang mencacatkan pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda