
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengakhiri lawatan kerjanya ke negeri Pahang dengan menyantuni rakyat di Program Jiwa Madani di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Goh, di sini pada Sabtu lalu.
Fahmi seterusnya ke Program Townhall bersama jabatan serta agensi seliaan kementeriannya di Jabatan Penyiaran Negeri Pahang (RTM).
Hadir sama di majlis tersebut Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan turut mengiringi rombongan menteri adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Bukhari Yahya.
Dalam ucapannya beliau melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk di Felda Bukit Goh ini.
“Ini menunjukkan sokongan daripada rakyat kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut Fahmi menyantuni penduduk kampung dengan memasak gulai kawah yang disediakan oleh penduduk kampung di samping melawat pameran dan gerai jualan.
Had Ahmad, 80, dari Felda Bukit Goh turut hadir untuk membeli di Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak.
“Program ini amat bagus dan dapat membantu rakyat yang dibebani kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut merasa teruja apabila Menteri Komunikasi ini datang beramah mesra dengan penduduk kampung.
Seorang lagi pengunjung Hadirah Mohd Yusof, 59 Kampung Padang Perdana, berkata barangan yang dijual lebih murah betbanding di pasar raya.
“Ini kali kedua saya datang ke PJR dan Program Jiwa Madani ini amat baik.
“Perlu selalu dianjurkan dengan PJR yang terdapat juga pemeriksaan kesihatan dan pameran untuk mengeratkan hubungan penduduk kampung dengan agensi kerajaan serta swasta.
-ZS-