
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul
KUANTAN, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Himpunan Pendekar Pahang yang dianjurkan sempena Karnival Rakyat Pahang 2024 menghimpunkan lebih 200 pendekar dari pelbagai seni bela diri, di sini kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pahang Fadzli Mohamad Kamal, berkata perhimpunan ini menghimpunkan pesilat-pesilat dari pelbagai guru persilatan, silambam dan tae kwan do.
“Jika kita lihat pada hari ini semangat yang ditunjukkan oleh mereka, sejujurnya saya juga turut bersemangat melihat kanak-kanak yang berusia seawal lima tahun boleh persembahkan seni pertahanan diri,” ujarnya.
Beliau turut bercadang untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan di negeri ini.
“Saya ada juga berjumpa dengan guru silat tadi dan mereka akan memberikan sokongan atas cadangan ini,” katanya lagi ketika ditemui selepas selesai acara Himpunan Pendekar Pahang dan Tayangan Filem Pagari Bulan sempena Karnival Rakyat Pahang 2024.
Karnival ini berlangsung selama tiga hari bermula 2-3 Februari di Dataran Sayangi Kuantan.
-ZS-