Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kompleks Perpaduan Machang Pertama di Malaysia

By 6 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)

MACHANG, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Pembinaan Kompleks Perpaduan pertama di Jajahan Machang yang siap sepenuhnya pada 27 Mac 2019 bakal menjadi pemangkin kepada sasaran negara untuk mewujudkan satu kompleks perpaduan di setiap negeri di Malaysia.

Kompleks perpaduan yang mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020 ini merupakan mercu tanda Dewan Perpaduan pertama dibina dengan kos keseluruhan hampir RM9.8 juta.

Kompleks Perpaduan Jajahan Machang ini dilengkapi ruang pejabat, bilik seminar, mesyuarat, mediasi, dewan serbaguna, tabika perpaduan dan ruang-ruang lain.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, berkata cadangan pembinaan Kompleks Perpaduan di setiap negeri adalah bagi merancakkan pentadbiran, pengurusan dan pengoperasian agensi, jentera serta jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Tambahnya, KPN sedang berusaha untuk meningkatkan dan menjana ekonomi komuniti di seluruh negara dengan menyasarkan pewujudan sebanyak 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif yang dijangka bermula April depan.

“Ia mampu menjadi contoh dan usaha memperkasa serta memperkukuhkan KRT Progresif di seluruh negara iaitu selari dengan aspirasi Rukun Negara ke arah pembinaan masyarakat progresif.

“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan melalui Belanjawan 2024 bagi menggerakkan inisiatif tersebut dengan memberi keutamaan kepada lapan bidang termasuk Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Ekonomi dan Sara Hidup,” jelasnya, di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPN Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan Zamakhshari Muhamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim.

-ZS-

Tinggalkan komen anda