
Laporan/foto: Mohd. Yusof Hj. Abd. Samad
TANGKAK, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Ledang Tahun 2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chi Ming malam tadi meriah dengan kehadiran 450 orang pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, berkata aktiviti sebegini mampu mengeratkan persefahaman antara satu sama lain walaupun berbeza kaum dan agama.
“Melalui persefahaman akan memudahkan jalinan perpaduan dipupuk antara kaum di negara ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak EE Chin Li, berkata tanpa kerjasama dan persefahaman antara kaum sukar untuk kerajaan menggerakkan ekonomi untuk kepentingan rakyat.
“Namun, jika tiada kemakmuran dan semangat muhibah antara kaum agak mustahil untuk mengadakan program pada malam ini.
“Bantuan turut diberikan kerajaan perpaduan bukan sahaja kepada bangsa Melayu tetapi kepada kaum Cina dan India,” katanya.
Persembahan Tarian 24 Gendang Cina oleh para pelajar SJK Cina Pei Hwa Sungai Mati menggamatkan lagi kemeriahan malam berkenaan.
-ZS-