Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajayaWilayah Persekutuan

Masjid, Surau Perlu Lebih Kreatif Menarik Lebih Ramai Anak Muda Mendalami al-Quran

By 27 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Hisham Salleh/JAKIM

PUTRAJAYA, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Institusi masjid dan surau, serta agensi berkaitan perlu lebih kreatif dalam melaksana program-program berkaitan al-Quran bagi menarik lebih ramai anak-anak muda memahami serta menghayati al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kelestarian syiar Islam, membentuk generasi al-Quran.

“Alhamdulillah, saya memerhati dan menyedari ada beberapa masjid dan surau khususnya di Wilayah Persekutuan, telah maju menyusun program-program penghayatan al-Quran,” katanya selepas merasmikan Konvensyen al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan merangka dan memperbanyakkan lagi program perpaduan serta kemasyarakatan.

Jelasnya, ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen ke-15 semalam, yang antaranya menyeru semua rakyat Malaysia untuk memelihara perpaduan negara, serta tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama (3R).

“Agensi agama di bawah saya akan teruskan usaha sebar luaskan Islam dan dalam masa sama hormati agama lain. JAKIM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) boleh kolaborasi dengan bangsa dan agama lain,” tambahnya.

-HS-

Tinggalkan komen anda