
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Khairul Othman
JELEBU, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 10 agensi telah mengambil bahagian dalam Karnival Sukan Rakyat anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu telah berlangsung di Stadium Mini Kuala Klawang, di sini semalam.
Antara sukan rakyat yang menjadi pengisian ialah tarik upih, lari golek tayar dan tarik tali di mana setiap acara perlu disertai oleh 10 orang peserta yang terdiri daripada lima orang lelaki dan lima orang wanita.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang Datuk Bakri Sawir, penganjuran program-program sebegini mengeratkan lagi hubungan sesama jabatan malah ia membantu membina semangat kesukanan di antara kakitangan jabatan.
“Aktiviti sebegini perlu diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian agar ia sekali gus membantu menjaga kesihatan penjawat awam khususnya menerusi aktiviti di padang,” katanya.
Pasukan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jelebu telah memenangi kejohanan dengan jumlah mata 140 diikuti naib johan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu dengan 100 mata dan tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu dengan 80 mata.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datul Rozitta Sulaiman dan Ketua Polis Daedah Jelebu DSP Maslan Udin.
-ZS-