
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa ibu bapa agar sentiasa memantau akaun media sosial anak-anak mereka terutama yang berusia bawah 13 tahun kerana berkemungkinan terpengaruh dan mengikut trend tertentu.
“Kalau ada anak-anak di bawah 13 tahun, larang mereka daripada memiliki akaun media sosial kerana kita lihat mereka pada usia itu, cukup mudah mengikut trend-trend tertentu dan dari segi pembangunan mental, masih banyak yang mereka perlu lalui,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu selain meneliti beberapa usaha sama yang akan dijalankan.
“Di pihak Kementerian Komunikasi kita akan cadangkan satu kempen kesedaran yang boleh pergi ke sekolah bertemu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekali dengan pengendali platform media sosial sendiri.
“Rata-rata saya lihat, pihak media sosial bersedia melakukan aktiviti CSR bersama-sama pihak kementerian untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid-murid agar mereka faham dan tidak main media sosial pada usia yang muda,” kata Fahmi selepas merasmikan Program Back To School Bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Shopee di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini hari ini.
Fahmi turut memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Parlimen minggu lepas dan mempunyai beberapa rancangan untuk menjayakan kempen kesedaran dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid mengenai aspek keselamatan dalam talian.
Pada majlis tersebut, 250 pelajar sekitar komuniti Lembah Pantai menerima voucher Shopee bernilai RM100 untuk membeli kelengkapan persekolahan.
Turut hadir Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Hanita Izam Abdul Rahman.
-ZS-