
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/JBSN (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini telah melancarkan Program Senamrobik Komuniti yang bertujuan membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Bermula di Kuala Lumpur, program itu akan diadakan di 43 lokasi bertumpukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) secara mingguan mulai Mac hingga Disember ini dengan pengisian sebanyak 44 buah siri senamrobik secara percuma.
Majlis pelancaran Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Dataran PA Seri Selangor, Cheras pagi tadi.
Menurut Hannah, program itu juga dilihat dapat menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua termasuklah dalam kalangan kaum wanita dan warga emas seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).
“Kenapa Kuala Lumpur kerana Kuala Lumpur memang padat dan tak cukup tempat untuk mereka. Dekat PPR/PA senang, mereka (penduduk PPR/PA) hanya perlu turun bawah sahaja.
“Itu sahaja kita perlukan daripada mereka, setengah jam (30 minit) satu minggu. Buat ini sebagai satu permulaan,” kata Hannah ketika ditemui di sini hari ini.
Turut hadir bersama Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Mohd Azhari Mohammad.
-ZS-