
Laporan/foto: Suhaimi Nik Wil/Zulfadli Ab. Hamid
KUALA KRAI, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Program gotong-royong membersih tanah perkuburan milik Masjid Al Solihin, Mukim Kebun, Kampung Kuala Pertang, di sini semalam mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Aktiviti ini perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kebersihan kawasan tanah perkuburan terjaga.
“Program bersih kubur ini sebenarnya boleh mengingatkan seseorang kepada kematian, suasana sunyi dan sepi bila berada di alam barzakh di samping azab kubur yang menanti dan mudah-mudahan para peserta akan mendapat pengajaran dan iktibar.
“Alhamdulillah program kemasyarakatan sebegini sehingga ke hari ini masih lagi mendapat tempat dalam kalangan ahli masyarakat tanpa mengira usia,” kata Imam Tua Masjid Al-solihin Haji Mohd Zin Deraman, 67.
Bilal Masjid, Che Daud Mat, 65, berharap program sebegini akan diteruskan lagi pada masa yang akan datang.
“Untuk program yang akan datang ahli jawatankuasa masjid wajar memikirkan kaedah untuk menarik lebih ramai golongan remaja turut sama terlibat dalam kerja gotong-royong ini agar rasa takut dan ingat mati akan tersemai dalam sanubari mereka dari awal.
“Secara tidak langsung akan mendidik mereka taat kepada agama dan ianya harus dibuat secara berterusan,” katanya.
-ZS-