Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Keunikan Menanam Padi dalam Pasu

By 15 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Menanam padi di bendang penting bagi memastikan bekalan stok beras tempatan tidak kehabisan.

Namun kekurangan kawasan tanah pertanian dan generasi muda yang berminat mengusahakan tanaman tersebut menyebabkan negara kita kekal mengimport beras dari luar negara.

Walau bagaimanapun, bagi peneroka Felda Air Tawar 3, Hamsun Zariman, 68, tiada kawasan tanah pertanian tidak menjadi halangan bagi dirinya yang untuk menanam makanan ruji ini di dalam pasu di sekeliling rumahnya.

Beliau yang merupakan peneroka generasi pertama Felda Air Tawar 3, berkata ilham penanaman padi dalam pasu tercetus hasil rombongan penduduk Felda ke Sekinchan, Selangor pada bulan Oktober lalu.

“Hasil lawatan ke jelapang padi Sekinchan itu telah menarik minat saya untuk mencuba kaedah alternatif dalam menanam padi dengan menyemai benih padi di dalam pasu.

“Sebanyak 300 pasu telah digunakan bagi proses penyemaian ini. Hasilnya selepas empat bulan, padi yang ditanam telah siap untuk dituai dan boleh dijadikan beras,” ujarnya semalam.

Menurut peneroka itu lagi, proses semaian sehingga dapat dijadikan beras juga tidaklah rumit seperti menanam padi di bendang.

“Penanaman padi dalam pasu ini mudah seperti menanam pokok bunga hiasan di dalam pasu. Proses penanaman bermula dengan mendapatkan benih menerusi pembelian secara dalam talian, diikuti dengan merendam benih padi, menyemai, membaja serta menjaga kuantiti air tanaman padi,” katanya.

Katanya lagi, hasil padi yang sudah cukup matang tiga bulan boleh dituai.

“Daerah Kota Tinggi masih belum mempunyai kemudahan untuk menyemai padi dan saya terpaksa ke daerah Mersing bagi proses tersebut untuk dijadikan beras,” katanya.

Keunikan penanaman padi dalam pasu ini perlu dijadikan satu contoh yang baik bagi menggalakkan pertanian dalam negara selain mengelakkan negara terus bergantung kepada beras import.

Peristiwa ketiadaan stok beras tempatan dalam negara sekitar hujung tahun 2023 perlu dijadikan iktibar.

Kaedah penanaman padi dalam pasu boleh menjadi pemangkin kepada rakyat yang mahu bertani tetapi tiada tanah pertanian sekali gus mengusahakan padi dalam pasu untuk kegunaan sendiri.

-ZS-

Tinggalkan komen anda