Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penggunaan Kod QR di Bazar Ramadan Mudahkan Pengunjung Salurkan Aduan

By 15 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)

KUANTAN, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Pengunjung Bazar Ramadan di negeri ini boleh menggunakan Kod QR yang disediakan untuk menyalurkan aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Ir. Razali Kassim, berkata penggunaan kod QR bagi Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bazar Ramadan ini diperluaskan ke seluruh lokaliti bazar Ramadan di negeri Pahang sebagai medium bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar-bazar Ramadan.

“Selain itu juga, kod QR ini juga merupakan saluran bagi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menyalurkan maklumat keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan kepada orang awam,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024, semalam.

Ujarnya lagi, sepanjang Bazar Ramadan berlangsung, sebanyak 526 gerai di Bazar Ramadan di seluruh negeri Pahang telah diperiksa dan sebanyak 52 notis telah dikeluarkan kepada pengendali makanan dengan nilai notis RM5,950.

Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta Peraturan 33 iaitu pengendali memakai perhiasan diri seperti jam tangan, cincin dan gelang ketika mengendalikan makanan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda