
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencurigai bahawa terdapat mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara yang diselamatkan sebelum ini, kini menjadi ejen sindiket untuk merekrut rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan polis mendapati bahawa 16 individu yang diselamatkan dari Myanmar dan Amerika Syarikat telah kembali ke negara tersebut.
“Ada beberapa daripada mereka yang pernah keluar ke negara lain dalam konteks yang lebih kurang sama, tapi apabila kita panggil untuk siasatan, jawapan yang diberikan oleh mangsa-mangsa ini seolah-olah telah dilatih.
“Jadi kita menggunakan risikan kita seterusnya dan benar ada antara mereka yang diselamatkan itu adalah antara mereka yang meyakinkan orang lain untuk turut bersama ke sana. Dalam erti kata lain dia menjadi ejen merekrut kepada sindiket penipuan kerja.” ujarnya dalam sidang media selepas Program Libat Urus Pengarah JSJ Bukit Aman Bersama Masyarakat di Pusat Komuniti TTDI, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Datuk Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman, telah mengumumkan bahawa sebanyak 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan luar negara telah berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Februari 2024. Sementara itu, 133 orang masih terdampar di luar negara.
Menurut beliau, kebanyakan mangsa dihantar ke negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos.
Berdasarkan kajian, 73 peratus daripada mereka bekerja sebagai ‘scammer’ (penipu), 12 peratus sebagai pekerja perkhidmatan pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino, dan tujuh peratus menjalankan pelbagai pekerjaan seperti tukang masak dan sebagainya.
-ZS-