Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI ACHEH, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) tidak hanya menjadi pendorong utama dalam membentuk komuniti di Pulau Pinang, tetapi juga merupakan tulang belakang pembangunan yang perlu diberi peranan yang lebih besar, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semasa merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran PERDA di Masjid Al-Amin, Nibong Tebal semalam.
“Keberadaan PERDA-TECH telah membentuk tenaga kerja mahir melalui Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tidak hanya berkualiti tinggi, tetapi juga diiktiraf oleh industri,” katanya.
Beliau turut menekankan perlunya PERDA untuk meneroka teknologi dan idea baharu yang mampu menggalakkan pertumbuhan positif dalam pembangunan komuniti di peringkat antarabangsa.
Tambahan pula, peningkatan dalam pengeluaran produk halal perlu diberi keutamaan dan diperluaskan, memandangkan ia mampu menjadi penyumbang pendapatan yang signifikan dalam kalangan peniaga dan usahawan.
“Keterlibatan semua pihak adalah penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dari akar umbi sehingga peringkat negara,” katanya lagi.
Pengerusi PERDA, Dato Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin, menyatakan bahawa peruntukan yang telah disediakan sepenuhnya digunakan untuk membangunkan komuniti dan merangsang sektor ekonomi negeri Pulau Pinang, dengan hasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai yang terbaik di Malaysia, sejajar dengan konsep MADANI.
Turut serta dalam majlis ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Rashidi Zinol, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, serta pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.
-AA-