Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Rakyat perlu Gunakan Baki Tempoh Seminggu Daftar di PADU

By 23 Mac 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahrul Ammar Jauhari/Normaisarah Abd Rahman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Semua rakyat Malaysia perlu menggunakan baki tempoh seminggu yang tinggal sehingga 31 Mac ini untuk mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Ada kemungkinan individu yang tidak mengemas kini maklumat dalam sistem PADU ini akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi daripada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata demikian di Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI anjuran bersama Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jabatan Perangkaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Komuniti MADANI Taman Desa, Parlimen Seputeh di De Market, Menara Faber, Taman Desa, di sini hari ini.

“Berdasarkan sidang media yang diadakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada 18 Mac lalu, Parlimen Seputeh antara yang mencatatkan lokaliti paling tinggi indvidu yang belum mendaftar dalam sistem PADU.

“Saya berharap, semua penduduk di Parlimen Seputeh yang telah berusia 18 tahun dan ke atas untuk mengambil peluang ini untuk mendaftar di sistem PADU bukan sahaja di kaunter-kaunter yang dibuka oleh Jabatan Perangkaan malahan mereka boleh mendaftar sendiri menggunakan peranti mudah alih dan mempunyai akses Internet mereka sendiri di www.padu.gov.my,” katanya.

Orang ramai yang hadir mengambil peluang untuk mendaftar di sistem PADU dengan bantuan daripada kakitangan Jabatan Perangkaan.

Seorang pesara, Muhamad Zamrie Zakaria, 71, berkata beliau datang ke program tersebut untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada pegawai terlibat berkenaan sistem PADU.

“Prosesnya sangat mudah di sini berbanding di rumah kerana petugas bertanyakan maklumat yang tidak diisi dengan lengkap dan dapat diselesaikan pada waktu itu juga.

“Jadi saya harap selepas ini kami sekeluarga tidak akan terlepas daripada mendapat bantuan daripaada pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Kausiliah Jayandran Naidu, 37, yang datang bersama ahli keluarga berasa amat teruja kerana dapat mendaftarkan ahli keluarganya di kaunter yang dibuka pada hari ini.

“Saya bersama suami sudah mendaftar di Johor tetapi masih ada ahli keluarga yang belum mendaftar.

“Jadi peluang yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan untuk membuka kaunter secara fizikal pada hari ini kami ambil untuk mendaftar di sistem PADU,” katanya.

Ketua Komuniti MADANI Taman Desa, Wong Chan Choy, 63, amat berpuas hati dengan kehadiran masyarakat Taman Desa dan penduduk di sekitar Parlimen Seputeh.

“Saya berharap, pada hari esok, 24 Mac 2024 akan lebih ramai lagi penduduk yang akan hadir di kaunter pendaftaran PADU ini yang dibuka bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang,” katanya.

Turut hadir Pegawai Penerangan Parlimen Bukit Bintang, Seputeh dan Putrajaya Azri Zainal Abidin, Pegawai Perangkaan Zainudin Abu Bakar dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Seputeh Edmund Teoh Kheng Yaik.

-ZS-

Tinggalkan komen anda