Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Tangani Gelombang Haba, Ketahui Punca dan Kesan kepada Masyarakat

By 29 Mac 2024Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Akmal Ibrahim/Mohd Sazwan Roslan (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Sejak awal Januari sehingga 27 Mac 2024, seluruh negeri Sabah mencatatkan lebih 1,400 kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan belukar, hutan, kebun, lalang dan gambut dengan jumlah keluasan kumulatif 9,651.83 ekar.

Hasil laporan terkini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ini jelas menggambarkan keadaan semasa suhu panas yang dialami rakyat Sabah dalam tempoh 87 hari tersebut dengan daerah Beaufort dan Kota Belud berada pada tahap 1 (berjaga-jaga).

Pengarah Pejabat Meteorologi Sabah Amirzudi Hashim, berkata berdasarkan pemantauan cuaca panas, keadaan ini boleh mengakibatkan berlakunya gelombang haba yang pernah berlaku di daerah Beaufort sebelum ini dengan suhu maksimum purata harian melebihi 37 darjah celsius selama tiga hari berturut-turut.

Bagi mengurangkan implikasi yang lebih kritikal terhadap kesihatan awam dan alam sekitar, beliau menggesa agar masyarakat mengambil serius akan semua bentuk aktiviti yang dilarang semasa cuaca panas terutama pembakaran secara terbuka terutama sisa domestik, perindustrian dan pertanian.

“Dengan keadaan yang dialami kita sekarang ini, masyarakat digesa elakkan melakukan pembakaran terbuka, aktiviti ini akan menyebabkan pencemaran udara seperti fenomena jerebu, zarah-zarah kotor ini akan terampai di udara yang juga boleh berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab perokok membuang puntung rokok merata-rata.

“Turut kita beri perhatian dari sudut pertanian, petani atau pemilik tanah dilarang melakukan pelupusan sisa tani dengan membakar, kaedah alternatif pelu diperkenalkan terutama dengan menjadikan sisa tanaman ini tadi kepada baja kompos,” katanya ketika ditemui semasa Program Kanou Misorita di Jabatan Penerangan Negeri Sabah, di sini pada Rabu.

Tambah Amirzudi, gelombang haba boleh menyebabkan strok dan memerlukan pemeriksaan di hospital kerana ianya boleh membawa kesan kepada tahap kesihatan, kematian dan masalah sakit kronik terutama kepada kanak-kanak serta warga emas.

“Dalam keadaan cuaca yang panas ini, adalah digalakkan agar kita mengurangkan aktiviti di luar kalau ada aktiviti pastikan diadakan di kawasan tertutup serta mempunyai saliran udara yang baik, berpenghawa dingin disamping minum jumlah air yang mencukupi baik semasa sahur atau iftar.

“Adalah disarankan juga kita menggunakan pakaian yang tidak terlalu tebal dengan warna yang cerah, ini juga terbukti berkesan kerana pakaian berwarna gelap akan menyerap haba daripada matahari yang mengakibatkan suhu badan meningkat secara mendadak,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dijangka akan berakhir pada 28 Mac ini sebelum musim fasa peralihan monsun bermula iaitu musim tengkujuh di mana kebanyakan kawasan akan menerima limpahan hujan yang tinggi.

“Untuk Sabah, fasa lembab ini akan bermula pada bulan November sehingga pertengahan bulan Februari, kemudian kita akan masuk ke fasa kering daripada pertengahan bulan Februari sehingga bulan Mac, di Semenanjung pun sama cuma sedikit berbeza lebih awal kemudian fasa kering tamat, peralihan kepada MTL sehingga bulan Mei,” terangnya.

Menyentuh soal langkah-langkah mengurangkan impak pemanasan global, beliau menyeru masyarakat mengunapakai budaya 5R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna semula), Recycle (Kitar semula), Rethink (Pemulihan) dan Refuse (Tolak) sebagai budaya sepanjang hayat.

Untuk maklumat yang lebih sahih dan terkini berkenaan cuaca, orang awam boleh merujuk ke laman sesawang atau media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) atau muat naik aplikasi myCuaca secara percuma.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda