Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tingkat Kesedaran, Elak Pembakaran Terbuka Semasa Musim Panas

By 2 Mac 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Balai Bomba dan Penyelamat Lintas (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Feb (MalaysiaAktif) – Cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan semasa Fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) boleh menjadi salah satu punca kepada kebakaran hutan selain keadaan kemarau yang dijangka dialami di seluruh negara sehingga penghujung Mac ini.

Justeru itu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menasihatkan agar masyarakat sentiasa cakna dengan risiko pembakaran terbuka yang boleh memudaratkan harta benda, alam sekitar serta nyawa manusia jika aktiviti tersebut tidak dibendung.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi JBPM Sabah, Kenneth Wilfred berkata, pembakaran secara terbuka terutama Ketika musim panas adalah dilarang selain memberi mudarat kepada banyak pihak sekaligus mampu menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.

“Peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU), akan mengakibatkan fenomena jerebu kembali yang jelas memberi kesan kepada tahap kesihatan dan aktiviti harian masyarakat, menjejaskan pelbagai industri, ekonomi, sosial tidak terkecuali industri pelancongan di negeri ini.

“Bukan itu saja, pengoperasian kenderaan darat dan udara seperti aktiviti perdagangan eksport dan import akan turut terjejas, begitu juga dengan aktiviti pertanian yang tidak dapat dilakukan sekiranya sesuatu kawasan itu mengalami kebakaran,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini pada Rabu.

Menyentuh soal pertanian, Kenneth menyeru agar komuniti petani mengelakkan daripada melakukan pembakaran secara terbuka walaupun untuk tujuan pembersihan tanah kebun atau pembukaan kawasan baru penanaman.

“Antara aktiviti lain yang dilarang untuk dilakukan ialah pembakaran sisa pertanian di ladang-ladang kebun, pembakaran sisa binaan di tapak binaan, pembakaran sampah secara terbuka termasuklah membuang puntung rokok merata-rata yang juga boleh menyebabkan kebakaran berlaku.

“Di sini saya juga mengingatkan agar orang ramai yang mempunyai aduan tentang pembakaran terbuka yang berlaku di tempat awam, boleh menghubungi pihak keselamatan di talian 999 ataupun menghubungi Balai Bomba yang terdekat,” ujarnya lanjut.

Untuk rekod, terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan berkata Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding sebelum ini susulan ketiadaan hujan dalam tempoh lama disusuli fasa akhir MTL yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.

Jelas METMalaysia litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat manakala Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan dengan suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda