Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Anggota Keselamatan Sempadan Negara Perlu Sentiasa Waspada Menjaga Sempadan Negara

By 4 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Padang Besar)

PADANG BESAR, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan khususnya kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi projek pembangunan semula ICQS Wang Kelian menjadikan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM30 juta.

Baginda menyatakan demikian di dalam titah ucapan sempena majlis sumbangan kuih raya kepada pegawai dan anggota yang bertugas pada hari raya aidilfitri di sempadan Malaysia-Thailand bertempat di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Wang Kelian, Perlis.

Peruntukan tersebut diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa sesi lawatan Perdana Menteri ke Perlis pada Isnin lepas.

“Projek ini pasti akan memberi impak positif kepada landskap pembangunan sempadan secara keseluruhannya terutamanya di Wang Kelian ini.

“Seadil mana pun undang-undang yang diperuntukkan tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa adanya penguatkuasaan oleh anggota keselamatan. Sebagai anggota keselamatan, mereka mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap agama, bangsa dan negara,” titah baginda.

Baginda juga berharap anggota keselamatan di sempadan juga sentiasa peka dan waspada khususnya di bulan Ramadan dan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti, terutamanya dalam memastikan sempadan kedaulatan negara baik di darat mahupun perairan kita tidak dicemari dengan insiden penyeludupan barang dan manusia mahupun insiden lain yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Untuk menangani ancaman dan jenayah rentas sempadan ini, satu dasar holistik perlu terus dibentuk khususnya antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuklah keperluan menjalin kerjasama strategik dengan negara jiran, khususnya bagi kita di sini iaitu Thailand,” ujar baginda.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-AA-

Tinggalkan komen anda