Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

‘Gerak Sahur’ – Inisiatif Bantu Kejutkan Penduduk Kampung Hilir Bangun Bersahur

By 4 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 4 April (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba Ramadan, banyak tradisi lama masyarakat yang cuba dihidupkan semula dan antaranya ialah tradisi kejut sahur atau lebih dikenali sebagai gerak sahur di kalangan masyarakat tempatan di sini.

Walaupun amalan itu dikatakan terus ditelan zaman, namun sekumpulan 18 orang belia yang berusia sekitar 15 hingga 27 tahun yang mahu dikenali sebagai Team Gerak Sahur dari Kampung Hilir, di sini telah mengambil inisiatif mengembalikan tradisi itu sejak tujuh tahun lalu iaitu bermula pada 2017.

Mengimbas kembali tentang kewujudan idea ‘Team Gerak Sahur’ ini, Mohd Sabri Jimi, 27, selaku ketua kumpulan berkata idea tersebut muncul selepas melihat tradisi serupa yang masih dikekalkan di beberapa buah tempat dan negara di televisyen.

“Di peringkat awal penubuhannya kumpulan ini hanya dianggotai oleh lima orang sahaja dengan sasaran hanyalah di Kampung Hilir sahaja secara berjalan kaki sehinggalah tahun kedua diperluaskan lagi dengan bermotosikal sepertimana sekarang termasuk ke Kampung Hulu selepas mendapat sokongan dan permintaan daripada penduduk setempat,” tambahnya.

Team Gerak Sahur biasanya bergerak bersama-sama dalam satu kumpulan berarak mengelilingi kampung untuk mengejutkan penduduk bangun dan membuat persediaan untuk bersahur.

Apa yang menariknya nyanyian atau laungan sahur akan turut diiringi dengan paluan gendang yang diperbuat daripada peralatan kitar semula.

“Antara alatan muzik yang digunakan adalah tong bekas cat, talam, mangkuk, zink, kayu, botol dan lain-lain bagi menghasilkan bunyian sebagai tanda masuknya waktu bersahur,” ujarnya.

Meskipun menggunakan peralatan yang sederhana, Team Gerak Sahur Kampung Hilir Sri Aman ini masih mampu menghasilkan alunan muzik yang menghiburkan penduduk, sekali gus mengejutkan masyarakat Islam di situ untuk bangun bersahur seawal jam 3 hingga 4 pagi dari Kampung Hilir sehinggalah ke Kampung Hulu.

“Cukup menyeronokkan walaupun terpaksa bangun awal pagi bersama rakan-rakan lain untuk mengejutkan orang ramai bersahur,” katanya.

Tambahnya, aktiviti seperti itu dapat membantu memelihara budaya masyarakat setempat ketika meraikan bulan puasa.

-AA-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda