Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

APMM Labuan Rampas Minuman Keras, Bot Bernilai RM472 Ribu

By 25 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Zon Maritim Labuan

LABUAN, 25 Apr (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan merampas minuman keras pelbagai jenama, sebuah bot pancung fiber dan tiga buah enjin yang dianggarkan bernilai lebih RM472 ribu, di perairan Menumbok, Sabah pagi tadi.

Anggota Zon Maritim Labuan bersama minuman keras yang cuba diseludup.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata menerusi rondaan operasi Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Pagar Laut 1/2024 dan Op Tiris 3.0, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran pada jam lebih kurang 5.05 pagi sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju ke Menumbok.

“Ketika menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan, bot tersebut bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias dan tekong bot telah melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 10,728 tin minuman keras dan botol pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Tiga buah enjin bot turut dirampas Zon Maritim Labuan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan dan usaha mengesan suspek diteruskan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

“Jika disabitkan bersalah, mana-mana individu boleh dikenakan denda tidak lebih 20 kali ganda cukai barang yang cuba diseludup atau RM500 ribu atau mana-mana amaun yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda