Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Dulu Buka Payung Tepi Jalan Kini Buka Kedai Sendiri

By 8 April 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khalisah Khazir (Alor Setar)

PENDANG, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Golongan memerlukan harus melibatkan diri dalam perniagaan kerana ianya antara cara mengubah kehidupan sekaligus membantu keluar daripada kepompong kemiskinan. Sebagaimana jalan yang diambil oleh usahawan kecil dan sederhana, Faizah Ahmad, 43, yang ingin mengubah nasib hidupnya agar keluar dari kepompong kemiskinan memandangkan berlakunya kegawatan ekonomi di mana harga barang keperluan yang kian meningkat.

Mula berjinak dalam bidang perniagaan semenjak sekolah rendah ketika hari sukan sekolah dengan menjual makanan ringan seperti keropok lekor dan air balang. Walaupun bukan dari keluarga yang sebati dengan selok-belok perniagaan, namun Faizah bertatih dari bawah berkat sokongan daripada arwah ibu tercinta yang turut membantu dari segi modal dan juga tenaga.

“Minat ini sebenarnya timbul sejak kecil lagi sebab ikut ibu menjual jajan berhampiran sekolah rendah,” kata Faizah. Menurut beliau, pada mulanya berasa sangat kekok untuk mengira duit di hadapan ramai pembeli, namun berkat kegigihannya, lama kelamaan perkara tersebut menjadi satu keseronokan, dari berniaga di bawah pokok, buka payung di tepi jalan sehinggalah dapat membuka kedai sendiri.

Hanya bermodalkan RM115 sahaja memulakan perniagaannya, berkat kesabaran dan kesungguhan beliau berjaya meraih keuntungan sehingga boleh mencecah RM300 hingga RM400 sehari.

“Antara cabaran yang saya hadapi sepanjang berniaga ialah kenaikan kos harga barang, dari segi persaingan dan sukar untuk mendapatkan bahan mentah seperti telur ayam saiz A, minyak, tepung dan lain-lain,” kata Faizah. Walau bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat Faizah untuk terus melakukan pembaharuan dalam setiap produk yang dihasilkan.

“Paling saya suka bila saya sentiasa melakukan pembaharuan pada produk dari segi perisa dan saiz aiskrim, golongan kanak- kanak dan dewasa sangat suka kerana terdapat pelbagai perisa yang boleh mereka pilih berdasarkan minat mereka sendiri,” tambahnya lagi.

Menurut salah seorang pelanggan, Norma Salleh, 58, produk makanan yang dikeluarkan oleh Faizah Ahmad adalah sangat lazat dan memuaskan.

“Sebelum ini bahulu yang biasa tapi sekarang dah macam macam bentuk dan juga perisa bahulu yang kak Faizah buat. Gebu dan sedap itu yang paling penting bagi saya,” ujarnya.

Hasil tinjauan mendapati pelbagai produk yang dikeluarkan oleh beliau dan antaranya seperti roti, kek, bahulu, kuih, aiskrim, sos dan terdapat juga sabun mencuci pakaian.

Dalam pada masa yang sama juga beliau turut menerima tempahan makanan seperti bihun goreng, nasi lemak, laksa, kerabu, nasi tomato, rojak dan laksam.

“Tempahan yang diterima selalunya dari sekolah-sekolah rendah berdekatan untuk majlis guru-guru dan prasekolah.

“Memandangkan sudah ada kedai sendiri, saya cari peluang untuk hadiri kursus jangka pendek iaitu kursus pastri dan roti dekat Giatmara anjuran EmpowerNcer,” katanya.

Nasihat beliau kepada anak-anak muda di luar sana yang berminat menceburi dalam bidang perniagaan, perlu ada ilmu asas perniagaan dan mohon kursus-kursus jangka pendek walaupun sambil berniaga.

-AA-

Tinggalkan komen anda