
Laporan/foto: Hafizah Rahim/Muhammad Arief (Marang)
MARANG, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Mengambil keberkatan bulan Ramadan, seramai 22 asnaf diraikan dalam satu Majlis Berbuka Puasa secara santai di pekarangan Surau Darul Sakinah, Kampung Baru Rhu Muda, di sini kelmarin.
Majlis anjuran Komuniti MADANI Kampung Rhu Muda bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rhu Muda itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung, berkongsi rezeki dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Alhamdulillah, sumbangan yang pihak kami berikan meskipun tidak seberapa namun dapat membantu mereka dari segi keperluan dapur antaranya beras, minyak masak, gula, tepung gandum, teh kurma dan lain-lain.
“Mereka yang dipilih terdiri daripada golongan ibu tunggal, asnaf dan pesakit terlantar yang diwakili oleh ahli keluarga,” kata Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Baru Rhu Muda Nor Azizi Othman.
Ariffin Idris, 87, salah seorang penerima sumbangan barangan dapur, berkata dia bersyukur dengan sumbangan yang diterimanya.
“Pakcik antara orang lama di kampung ini, pak cik bersyukur dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat kurangkan belanja dapur pada bulan puasa ni,” katanya.
Sementara itu, Fatimah ismail, 61, berkata sumbangan barangan keperluan dapur ini adalah yang pertama kali diterimanya sepanjang bulan puasa dan mengucapkan terima kasih di atas kecaknaan ini.
-ZS-