
Laporan/foto: Khairunnisa Ismail/W Shahilawati W Baharuddin (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Walaupun berdepan musim panas, iftar ala Madinah program JIWA Komuniti Madani peringkat parlimen Kubang Kerian tetap menerima sambutan meriah.
Iftar ala Madinah ini menerima kunjungan 300 orang yang tidak melepaskan peluang merasai pengalaman duduk bersila beramai-ramai di atas hamparan tikar sambil menikmati juadah berbuka puasa di pekarangan tempat letak kereta Bandar Baru Tunjong, di sini semalam.
Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Serian, Salleh Yusof, 65, program seumpama ini menjadi perantaraan bagi menjalin hubungan yang lebih akrab dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara komuniti-komuniti dalam Parlimen Kubang Kerian.
“Seramai sembilan orang pengerusi bersama ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Parlimen Kubang Kerian dapat berhimpun dan bersuai kenal di antara satu sama lain..
“Sebelum ini kami hanya berinteraksi dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp Group sahaja, tetapi hari ini kami dapat bersemuka dalam program anjuran jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan,” katanya kepada Malaysiaaktif.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu Mohd Zamzuri Salleh, berkata program JIWA Komuniti MADANI peringkat Parlimen Kubang Kerian ini adalah yang pertama kali diadakan.
“Selain berbuka puasa, kita juga turut menyediakan pengisian aktiviti lain untuk orang ramai seperti penyampaian sumbangan kepada 30 orang asnaf, perkhidmatan kaunter Pangkalan Data Utama (PADU) dan pameran daripada agensi serta tazkirah Ramadan oleh pendakwah jemputan,” katanya.
Turut hadir Pengarah jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Pengerusi Permodalan Felcra Sdn. Bhd. Datuk Bakri Yusoff dan barisan kepimpinan kerajaan perpaduan Parlimen Kubang Kerian.
-ZS-