Laporan/foto: AL- Tarmizi Azmi/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Sepuluh hari terakhir bulan Ramadan meriah dengan penyertaan sembilan lorong di Kampung Lukut dalam pertandingan malam tujuh likur, kelmarin.
Setiap lorong yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini perlu menghias kawasan lorong mereka dengan cahaya lampu tradisional dan moden.
Ketua Kampung Lukut Amran Saari, 57, berkata program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Lukut ini bertujuan menghidupkan suasana sepuluh malam terakhir bulan Ramadan serta meneruskan tradisi malam tujuh likur.
“Pertandingan ini buat pertama kalinya diadakan bagi memberi semangat kepada penduduk kampung dalam menceriakan lorong masing-masing menjelang Aidilfitri. Para perantau yang akan pulang ke kampung minggu hadapan juga pasti akan teruja dengan dekorasi yang dipasang.
“Saya berharap program ini dapat diadakan pada setiap tahun bagi menyambung tradisi warisan zaman dahulu,“ ujarnya.
Setiap lorong bersaing untuk menonjolkan hiasan dekorasi terbaik melalui corak dan bentuk gabungan alatan lama dan moden.
Kerjasama penduduk sudah pasti mengimbas kembali nostalgia zaman dahulu yang mencerminkan warisan kebudayaan dan tradisi masyarakat Melayu di Malaysia.
Keputusan pertandingan akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri. Walau apa jua keputusannya, kemenangan tidak menjadi keutamaan kerana yang penting tradisi lama dapat diteruskan.
-ZS-