
Laporan/foto: Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Program ‘Usus Sihat, Ibu Hebat!’ anjuran pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia Yakult Malaysia Sdn Bhd (Yakult) bertempat di Dewan Arena Merdeka, di sini kelmarin merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yakult khusus untuk meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat.

Saringan kesihatan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berkata, program dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Daerah Dungun dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) ini menekankan pengetahuan pentingnya amalan gaya hidup sihat.
“Usaha berbentuk ilmiah dan perkongsian maklumat kesihatan ini membuktikan syarikat swasta turut komited dalam menangani isu penyakit tidak berjangkit di negara ini dan memperkasakan peranannya dalam mendidik individu untuk membudayakan gaya hidup yang sihat.
“Golongan ibu menjadi tulang belakang kepada pembangunan sesebuah keluarga, bermula daripada keluarga yang sihat akan melahirkan masyarakat dan komuniti yang produktif dan sejahtera,” katanya.
Pengunjung Mohamad Che Awang, 72, berharap program ini diadakan lebih kerap bagi membolehkan golongan warga emas sepertinya berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang kesihatan dengan lebih mudah.

Mohamad Che Awang berharap program ini lebih kerap diadakan bagi memberi peluang orang ramai mendapat nasihat berkaitan kesihatan
Aminah Ali, 68, seorang surirumah hadir pada program ini kerana ianya memberi banyak kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan secara percuma daripada golongan profesional dan pakar yang diiktiraf.
Program yang dihadiri lebih 700 orang peserta ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya saringan kesihatan, ceramah kesihatan, pertandingan mencipta minuman kreatif berasaskan Yakult, pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi anyaman tikar mengkuang, cabutan bertuah dan pameran dari agensi kerajaan.
-AA-