
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Mohamad Azam Mat Awi (Pendang)
PENDANG, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI adalah badan sukarela yang berperanan penting dalam menyebarluaskan informasi terkini dan sahih berkenaan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan serta membantu mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia.
Pelbagai program telah dirancang bersama Komuniti MADANI bagi mencapai objektif penubuhannya iaitu memperkasakan sistem penyaluran maklumat hingga ke akar umbi antaranya program di peringkat komuniti, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Acara Bola Beracun disertai pelbagai lapisan umur
Pegawai Penerangan Daerah Pendang, Syamimi Aaizag Ibrahim ketika ditemui semalam berkata, Komuniti MADANI merupakan salah satu jentera utama dalam penyebaran maklumat yang tepat dan sahih kepada orang ramai.
“Bagi mencapai objektif penubuhannya, satu program peringkat Parlimen telah diadakan di sini semalam dengan melibatkan enam buah Komuniti MADANI dibawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Pendang.
“Pelbagai acara sukaneka dijalankan dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari ahli-ahli komuniti antaranya Pertandingan Musang Berjanggut, Kukur Kelapa, Bola Beracun, Sumpit Belon, Menjaga Belon dan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak,” ujarnya.

Acara Sumpit Belon disertai oleh kaum lelaki
Program yang telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah, Aidatul Shima Che Hassan ini turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Ameera Optometrist, Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd dan 1Minute Miracle Sdn Bhd.
Turut hadir menjayakan program adalah Penasihat dan Penyelaras Komuniti MADANI, Dato’ Dr. Zulkifly Mohamad.
-AA-