Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Wanita Perlu Ambil Tahu Pendarahan Tidak Normal

By 28 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Isu pendarahan yang tidak normal masih kurang mendapat perhatian dalam kalangan ramai wanita.

Menurut Perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan, Hospital Pakar KPJ Sabah Dr. Norafidah Ahmad, adalah penting untuk wanita memahami tanda-tanda pendarahan berat yang mungkin menandakan masalah kesihatan yang serius.

Suasana ketika rakaman program berlangsung.

“Wanita perlu mengetahui ciri-ciri pendarahan normal bagi kitaran haid, yang berlangsung antara 21 hingga 35 hari, dan pendarahan seharusnya antara dua hingga tujuh hari. Jika berlaku pendarahan lebih dari tujuh hari, itu adalah tanda yang seharusnya diambil berat.

“Justeru, jika pendarahan berlanjutan lebih dari seminggu atau mengalami kesakitan teruk, wanita disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan segera. Selain itu, pendarahan berat didefinisikan sebagai kehilangan darah melebihi 20 hingga 90 ml dalam seminggu,” katanya ketika ditemu bual dalam program Kanou Misorita di sini, pada Khamis.

Tambah Norafidah, pendarahan yang tidak normal perlu diberi perhatian kerana mungkin merujuk kepada beberapa simptom penyakit antaranya fibroid, adenomiosis, polip dan kanser.

Dr Norafidah menerima sijil Penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Geraldine Voo.

“Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang muncul di dinding rahim dan sering menyebabkan pendarahan berat.

Sementara itu adenomiosis adalah keadaan di mana lapisan dalam rahim tumbuh ke dalam dinding rahim, yang boleh mengakibatkan kesakitan dan pendarahan yang ketara,” jelasnya.

Tambahnya lagi, polip yang merupakan ketumbuhan kecil dalam rahim, juga boleh menyebabkan pendarahan yang tidak normal.

“Lebih membimbangkan, pendarahan tidak normal juga mungkin menandakan adanya kanser rahim atau kanser pangkal rahim,” ujarnya.

Justeru itu beliau mengharapkan lebih ramai wanita akan mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan mereka selain membuat pemeriksaan bagi pengesanan awal agar rawatan yang berkesan boleh dilaksanakan pihak perubatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda