
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain/Noor Suraya Zainal
SERI DELIMA, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 54 penerima dalam kalangan golongan memerlukan diraikan dalam Majlis Penyampaian Hamper Deepavali 2024 anjuran Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor, kelmarin.

Ucapan Penghulu Bukit Gelugor yang menekankan sikap bantu membantu tanpa mengira warna kulit perlu diteruskan
Majlis yang diadakan di Dewan MPKK Sungai Gelugor ini disertai oleh Wakil ADUN Seri Delima dan pemimpin setempat sebagai tanda sokongan kepada inisiatif dalam memastikan tiada golongan terpinggir agar sambutan Pesta Cahaya tahun ini lebih bermakna.

Wakil ADUN Seri Delima menyampaikan hamper Deepavali kepada penerima yang layak
Penghulu Bukit Gelugor, Qusyairi Ishak, 39, menyatakan rasa bangga atas sikap bantu-membantu tanpa mengira kaum yang dizahirkan dalam program ini dan berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
N. Letchumi, 43, berkongsi rasa syukur kerana terpilih menerima hamper dan kotak bantuan Deepavali.
“Saya amat berterima kasih atas sumbangan ini yang membawa makna besar bagi kami sekeluarga dalam menyambut Deepavali tahun ini,” katanya yang merupakan ibu tunggal setelah kehilangan suami dua tahun lalu.
Selain hamper Deepavali, setiap penerima turut menerima kotak bantuan tajaan Syarikat Motorola.
Majlis turut diserikan dengan jamuan makan malam dan persembahan tarian ‘macha-macha’ yang memeriahkan lagi suasana, hasil kreativiti kanak-kanak dari kawasan sekitar.
-AA-