
Laporan/foto : Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Sesi Latih Amal Simulasi Bencana Kebakaran Dan Runtuhan Bangunan 10 Tingkat telah dijalankan bertempat di Lapangan Terbang Lama TUDM Sungai Besi, Bandar Malaysia, Kuala Lumpur semalam.

Kawalan ketat oleh PDRM dan petugas perubatan dalam keadaan siapsiaga
Simulasi yang diberi Nama ‘Ops Gegar’ yang melibatkan kerjasama erat antara 20 agensi dan seramai 890 kekuatan ini bertujuan untuk membina skuad penyelamat yang cekap dan berkesan dalam memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana di sekitar negara khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kawalan media oleh petugas Jabatan Penerangan WPKLP
Latih amal ini dijalankan secara “real-time” dengan mengambil kira masa tindakan pertama selepas menerima panggilan kecemasan sehingga kepada situasi kebakaran dan runtuhan yang sebenar. Selain itu, latihan ini juga memperlihatkan tugasan dan tanggungjawab setiap agensi yang terlibat berdasarkan arahan NADMA NO. 1.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Parang Abai@Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (PSE) JWP, YDH DCP Dato’ Azry Akmar bin Dato’ Hj Ayob, Timbalan Ketua Polis KL dan YBrs. Tuan Rozihan Anwar bin Mamat, Timbalan Pengarah Bomba KL.
-AA-