Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Rakyat berharap kerajaan dapat melaksanakan program subsidi bersasar dengan lebih cekap dan memberikan manfaat kepada golongan sasar.
Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan Dr. Ricky Chia Chee Jiun, program itu diharap membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan memastikan keadilan dengan mengambil kira pelbagai situasi kehidupan.
“Paling penting, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan program subsidi bersasar ini tidak menjejaskan motivasi rakyat untuk meningkatkan pendapatan mereka.
“Sekiranya subsidi hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, sesetengah rakyat mungkin bimbang bahawa mereka akan kehilangan subsidi jika pendapatan mereka meningkat, lalu kurang berusaha untuk mencapai pendapatan yang lebih tinggi dan ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
“Saya percaya bahawa program subsidi yang ideal adalah program yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah tanpa mencipta kesan perangkap pendapatan iaitu mengelakkan rakyat daripada mengurangkan usaha untuk meningkatkan pendapatan hanya kerana bimbang kehilangan subsidi,” katanya semalam.
Tambahnya, kerajaan juga perlu mengambil langkah yang efektif dalam mengawal kadar inflasi negara.
“Pelaksanaan Program Subsidi Bersasar oleh kerajaan seperti dalam aspek pendidikan dan RON95 dapat mengurangkan perbelanjaan fiskal dan mengawal defisit kewangan tetapi pada masa yang sama boleh memberi kesan kepada ekonomi serta kehidupan rakyat seperti peningkatan harga barang.
“Peningkatan harga barang dan perkhidmatan boleh mengakibatkan inflasi, di mana harga di sektor tertentu boleh menjalar ke sektor-sektor lain dan menyebabkan kos sara hidup yang tinggi, Oleh itu kerajaan perlu memastikan langkah kawalan inflasi yang efektif agar keseimbangan ekonomi yang sihat dapat dicapai,” jelasnya.
-ZS-