
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Pembukaan Pos Shop di Perlis yang beroperasi bermula pukul 7.00 pagi sehingga 10.00 malam akan memudahkan masyarakat mendapatkan keperluan harian dan juga singgah makan.
Pos Malaysia Berhad mempelbagaikan cabang perniagaannya sejak pembukaan kedai serbaneka Pos Shop pertama di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu.

Pengurus Runcit Negeri Kedah dan Perlis, menunjukkan antara barangan yang ada di Pos Shop’
Pengurus Runcit Negeri Kedah dan Perlis Shaikh Mohd Faqruddin Shaikh Rohmat, berkata ketika ini kumpulan Pos Malaysia Berhad bagi negeri Perlis telah membuka dua Pos Shop di Kangar dan juga Kuala Perlis.
“Pos Malaysia di Perlis akan menyasarkan membuka satu atau dua lagi cawangan Pos Shop di Perlis. Secara keseluruhannya bagi 2024, Pos Malaysia Berhad juga bercadang untuk membuka 50 cawangan Pos Shop di seluruh negara.
“Di Perlis kini telah beroperasi di Kangar dan juga Kuala Perlis, ia merangkumi barang jualan kedai serbaneka dan juga berkonsep kafe, sambil-sambil membayar bil, para pelanggan boleh bersantai minum dan makan,” katanya semalam.
Mengulas lanjut, Faqruddin, berkata langkah membuka Pos Shop adalah bagi membolehkan Pos Malaysia sentiasa mengikut arus semasa dan di samping perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan sebelum ini masih dijalankan seperti biasa.

Pos Malaysia Berhad dilihat mengikuti arus terkini.
“Kami menjangkakan Pos Shop Perlis akan mendapat sambutan masyarakat sekitar sedikit masa lagi.
“Dengan waktu operasi yang panjang, iaitu bermula dari 7.00 pagi sehingga 10.00 malam pada setiap hari, dan juga dengan produk jualan makanan dan minuman yang terdapat di sini akan memudahkan masyarakat sekitar terutama bagi para pekerja atau pelajar sekitar,” katanya.
-ZS-