Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus
SEREMBAN, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Sebuah buku bertajuk ‘Aminuddin Harun: Menongkah Arus, Melaksana Harapan’ terbitan Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan (PPANS) dengan usahasama Pejabat Menteri Besar diterbitkan bagi merakam perjalanan hidup Ahli Parlimen Port Dickson dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan Sikamat itu sebagai seorang anak Negeri Sembilan yang diberi peluang menjadi Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan kelapan.
Objektif utama penerbitan buku ini adalah untuk memperkenalkan tokoh Negeri Sembilan di samping mengembangkan lagi buku-buku yang dapat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya di Negeri Sembilan.
Buku itu telah diluncurkan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun di sebuah hotel, di sini semalam.
“Buku biografi yang disusun sendiri oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Lim Swee Tin ini merakam sebahagian besar perjalanan hidup saya sebagai salah seorang anak Negeri Sembilan yang diberi peluang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, usaha baik ini wajar diteruskan dengan penulisan kisah perjuangan tokoh-tokoh kelahiran Negeri Sembilan yang lain dan boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.
-ZS-