Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)/KKGP
IPOH, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, di sini kelmarin.
Seramai 859 graduan dari 13 Kolej Komuniti Negeri Perak (KKNP) diraikan pada majlis tersebut sekaligus menjadikan 15,499 graduan berjaya dilahirkan sejak penubuhan KKNP pada tahun 2001.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Ts. Dr. Ali Selamat, Kolej Komuniti (KK) berperanan sebagai pemangkin dalam merealisasikan aspirasi negara menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global.
“Melalui pendidikan berasaskan kemahiran dan program latihan terkini, KK melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran pekerjaan malah mampu memimpin perubahan, mencipta peluang baharu serta mendorong inovasi.
“Dalam era persaingan global yang semakin mencabar KK juga telah menunjukkan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya relevan tetapi kritikal dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, dinamik dan berintegriti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Tambah beliau, pencapaian cemerlang ini bukanlah satu kebetulan malah hasil usaha berterusan serta kolaborasi rapat antara KK dan industri selaras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
-ZS-