
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip/Mohd Maqdi Bin Salleh (Sabah)
TAWAU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Selain membentuk komuniti sihat, Hari Sukan Negara (HSN) merupakan agenda nasional yang dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sukan berfungsi sebagai wadah penting dalam membentuk warga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Nizam ketika merasmikan program HSN2024 Peringkat Bahagian Tawau
Menurutnya, selama berdekad-dekad, sukan telah mengajarkan rakyat tentang erti perpaduan, kerjasama, dan cinta kepada negara dalam kepelbagaian latar bangsa, etnik serta agama.
“Sukan telah mengangkat rakyat sebagai bangsa yang kaya dengan nilai kasih sayang, malah menyatukan rakyat merentasi garis kaum dan agama. Jangan sesekali kita mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif.

Sekitar suasana program HSN2024 Peringkat Bahagian Tawau
“Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita semua bersatu padu dan saling memahami serta sebagai pentas untuk mengharumkan nama negara,” katanya ketika melancarkan Program Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Bahagian Tawau di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan di sini hari ini.
Merangkap ADUN Apas, Nizam berkata Sambutan Hari Sukan Negara wajar diisi dengan pelbagai aktiviti bersifat komuniti dan sesuai dengan pelbagai peringkat umur.
“Saya percaya, hari ini tentunya dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat di mana pelbagai aktiviti dan acara sukan akan diadakan dengan meriah.
“Bagi sambutan di Bahagian Tawau, jawatankuasa sambutan telah merangka beberapa aktiviti berkonsepkan sukan, kecergasan, dan rekreasi yang bermula seawal 7.00 pagi. Kemuncak sambutan ialah acara perasmian dan program Ikonik yang dimulakan dengan ‘aerodance’, ‘Fun Walk’, dan ‘Penalty Football League’,” ujarnya.
-AA-