Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Merusin Minuddin (Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Sabah dijangka akan menjadi tumpuan dunia sempena Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 yang akan dianjurkan buat julung kalinya pada 19 hingga 20 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Antara objektif penganjuran SIBEC adalah bagi membentuk mekanisme untuk mengoptimumkan hasil sumber perairan laut, sungai serta ekosistem marin di Sabah sekaligus menjana pulangan pendapatan yang tinggi kepada negeri dan rakyat secara keseluruhan.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Rosmadi Datu Sulai, JP, berkata persidangan selama dua hari itu akan melibatkan pakar cabang Ekonomi Biru di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ekonomi Biru juga tegasnya akan membuka peluang yang lebih luas kepada generasi muda untuk menerokai bidang baharu sekaligus menjadi antara penggerak utama kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Kalau bercakap mengenai Ekonomi Biru mesti masyarakat akan bercakap mengenai tangkap ikan, atau melibatkan aktiviti laut sahaja, ini yang dipanggil perniagaan seperti biasa maknanya kita masih berada dalam fasa ‘Brown-Blue Economy’ dan ini sudah kita lakukan bergenerasi yang lalu, mungkin 100 tahun lalu.
“Sekarang agenda dunia adalah untuk memenuhi kehendak Sustainable Development Goals (SDG) iaitu fasa ‘Green-Blue Economy’. Kita di Sabah memikirkan adakah boleh kita bergerak melangkui fasa ekonomi ini? Kenapa mesti kita hadkan keupayaan kita?
“Kita (Sabah) mempunyai semua sumber yang diperlukan, kita mempunyai generasi muda yang berkeupayaan, kita boleh melangkah jauh daripada kedudukan yang sedia ada dan itulah objektif utama iaitu kita mahu Sabah bergerak ke arah Ekonomi Biru iaitu ekonomi berkonsep regeneratif,” ujarnya semasa program bual bicara Influencer@JAPEN Sabah, di Pejabat Sektretariat SMJ di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini, kelmarin.
Untuk makluman antara pengisian utama SIBEC 2024 adalah interaktif forum, sesi khas membabitkan duta dan pesuruhjaya tinggi negara asing yang terdiri daripada negara Jerman, Australia, Norway, Arab Saudi dan Maldives.
Interaktif forum ini juga akan membincangkan pelbagai topik sektor Ekonomi Biru antaranya perikanan, pelancongan marin, tenaga boleh diperbaharui, perkapalan, sumber-sumber mineral serta kajian dan pembangunan infrastruktur marin.
SIBEC 2024 dijangka akan dihadiri kira-kira 3,000 peserta dari dalam dan luar negara yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-AA-