
Laporan/foto: Connie Lee (Sarawak)
LUNDU, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Air Terjun Sebako adalah salah satu destinasi ekolancong atau ekopelancongan menarik di daerah ini di mana pengunjung dapat menikmati pemandangan air terjun 12 tingkat dalam suasana hutan yang menenangkan.
Terletak di kawasan hutan Gunung Rumput ataupun turut dikenali sebagai Bukit Kanyi yang merupakan salah satu perbatasan di antara Indonesia dan Malaysia (Sarawak), berketinggian 1,590 meter dari permukaan air laut.

Pengunjung sedang melalui anak tangga yang dikenali sebagai ‘Tangga Penyesalan’ sebagai permulaan perjalanan.
Menurut salah seorang pemandu arah Jefri Sujang, 48, untuk tiba ke Air Terjun Sebako, para pengunjung haruslah malakukan pendakian terlebih dahulu,
“Pengunjung akan melalui 398 anak tangga sebagai permulaan perjalanan menuju ke lokasi air terjun seterusnya disusuli jambatan kayu dan trek tanah merah.
“Sepanjang perjalanan, para pengunjung akan ditemani beberapa pemandu arah yang terdiri daripada orang kampung dalam membantu memberi panduan serta khidmat tunjuk ajar semasa dalam perjalananm,” katanya.
Menurut Jefri lagi, para pengunjung juga dinasihati agar menjaga kebersihan sepanjang perjalanan di dalam hutan terutamanya di kawasan air terjun bagi menjaga kebersihan kualiti air dari atas kerana di kawasan sungai paling bawah juga turut mempunyai penternakan ikan melalui kaedah Sistem Tagang.
“Tempat ini sangat sesuai bagi mereka yang meminati aktiviti lasak dan ingin berada jauh dari kesibukan kota,” katanya.

Bunga Rafflesia yang terdapat di Air Terjun Sebako.
Ketinggian Air Terjun Sebako adalah 450 meter dari permukaan laut dan pengunjung akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk sampai di peringkat yang paling tinggi.
Laluan berbeza untuk ke Air Terjun Sebako juga terdapat tumbuhan bunga terbesar di dunia iaitu Raflessia di mana para pengunjung boleh melihat sendiri dan menikmati keindahan bunga tersebut yang menjadikan air terjun ini menjadi salah satu destinasi popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.
-ZS-