Laporan /foto: Juhaisa Azrin/Nur Bazilah
LIPIS, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Pahang Rail Tourism 2024 mensasarkan daerah Lipis sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
Menteri Besar Pahang Datuk Sri DiRaja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata negeri Pahang telah mencatatkan pertambahan kehadiran pelancong pada tahun 2024 iaitu seramai 5.9 juta dalam tempoh Januari hingga Jun berbanding 5.1 juta pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.
“Perkhidmatan kereta api ini merupakan antara usaha Pahang Barat Plus dalam menyeimbangkan kemajuan setiap kawasan dan semoga daerah Lipis akan menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negeri,” ujarnya ketika berucap merasmikan Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen KTMB Kuala Lipis, di sini hari ini.
Wan Rosdy turut melakukan pelepasan perkhidmatan Diesel Multiple Unit (DMU) laluan Kuala Lipis – Gemas, melancarkan pakej Pahang Rail Tourism 2024 serta menaiki tren khas ke lokasi Stesen Bukit Betong bersama 150 peserta yang lain.
Terdahulu tren khas yang membawa 150 orang peserta yang terdiri daripada pihak media, pempengaruh media sosial dan agensi pelancongan tempatan serta Singapura telah memulakan perjalanan seawal pukul 1.30 pagi dari stesen KTMB KL Sentral, Kuala Lumpur.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada para peserta antaranya berkayak di Sungai Tanum, Tree Top Walk di Taman Negara Sungai Relau serta berbasikal dari Merapoh ke Kuala Lipis yang mana aktiviti-aktiviti ini adalah bertujuan mempromosikan jajaran pelancongan kereta api di negeri Pahang yang mempunyai produk-produk pelancongan menarik yang boleh diketengahkan.
-ZS-