
Laporan/foto: Norlia Mili/Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak dan Pemukiman Komuniti MADANI Sarawak yang berlangsung selama dua hari bermula 9 hingga 10 November lalu telah berjaya memberi pendedahan terhadap pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.
Sebanyak 17 Komuniti MADANI, 23 pelbagai jabatan dan agensi serta tujuh rakan strategik telah menyertai pameran sempena program berlangsung.

Suasana di ruang pameran sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak dan Pemukiman Komuniti MADANI Sarawak.
Menurut Pegawai Penyelidik Lembaga Koko Malaysia Kota Samarahan Habsah Hassan, 32, pihak Lembaga Koko sangat aktif dalam menyertai program seperti pameran dan jualan produk.
“Melalui pameran seperti ini pihak kami dapat memberi pendedahan kepada orang awam terhadap produk-produk jenama koko keluaran Sarawak.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak kerana memberi peluang kepada kami untuk turut serta dalam pameran ini,” ujarnya, di sini kelmarin.
Pegawai Penerangan JaPen Sarawak Ianabella Raeng, 35, turut berkesempatan membuat pemeriksaan gigi di Klinik Gigi Bergerak yang menyediakan perkhidmatan pergigian semasa pameran berlangsung.

Habsah Hassan (kiri) dan rakan-rakannya menunjukkan produk keluaran terbaharu jenama Lembaga Koko Malaysia Kota Samarahan.
“Saya berpeluang untuk membuat pemeriksaan gigi namun disaran untuk membuat rawatan gigi susulan di klinik pergigian awam terdekat,” katanya lagi.
Pelbagai perkhidmatan turut ditawarkan pempamer seperti pembukaan akaun oleh Bank Simpanan Nasional dan tawaran pakej telekomunikasi oleh CelcomDigi di samping jualan produk makanan dan kraf tangan oleh Komuniti MADANI yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung yang hadir.
-ZS-