
Laporan/foto: Felix Harus (Sarawak)
LUNDU, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Pengalaman isteri seorang nelayan memanfaatkan sisa ikan terbuang memberi inspirasi kepada pengusaha keropok untuk menambah pendapatan serta mengubah taraf kehidupan keluarga.
Fatimah Alias Asmah Mohamad, 74 dari Kampung Stunggang Melayu Baru di sini telah berjaya menubuhkan syarikat Asmah Family Enterprise yang memproses keropok ikan bermula sejak tahun 1990 bersama keluarga beliau dan produk mereka telah berjaya tembusi pasaran antarabangsa.

Antara produk yang turut dihasilkan seperti keropok udang dan sotong yang menjadi kegemaran.
“Promosi yang baik telah membawa jenama keropok ikan Asmah berjaya ke pasaran tempatan terutamanya di sekitar Kuching dan Miri, selain pihak FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) turut membantu memasarkan keropok ini ke pasaran antarabangsa seperti ke negara Brunei dan Arab Saudi,” kata Fatimah yang ditemui semalam.
Tambahnya, penjagaan kualiti pembuatan keropok dengan mengikut sukatan yang betul dan mengekalkan rasa ikan amat penting agar produk mereka sentiasa menjadi pilihan pembeli.
Menurut Fatimah lagi, selain menghasilkan keropok berasaskan ikan, beliau juga menghasilkan keropok udang dan sotong yang turut menjadi pilihan pembeli.
-ZS-